Site icon Harimau Asia

Pengarah REV Asia: Amal konsep Rolls Royce tangani pengangguran

FMT Reporters – September 26, 2019 6:02 PM 104 Shares

Forum “Underemployment” Dalam Kalangan Graduan Malaysia mengesyorkan majikan mengamalkan pendekatan Rolls Royce tangani pengangguran dalam jangka panjang.

PETALING JAYA: Majikan di negara ini wajar menggunakan pendekatan Rolls Royce bagi mengatasi masalah pengangguran dan lambakan graduan dalam pasaran, Pengarah REV Asia Berhad, Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad.

Wan Mohd Firdaus berkata, adalah lebih baik sekiranya Putrajaya dan pihak yang terlibat dalam industri meneliti konsep dilakukan syarikat pembuat kereta mewah dunia, Rolls Royce yang mengambil pekerjanya tanpa melihat latar belakang pendidikan.

“Mungkin ada baiknya jika tidak semua anak muda masuk ke universiti. Rolls Royce misalnya mengambil pekerja yang tidak memiliki ijazah tetapi menggalakkan pekerja tersebut menghadiri kelas selepas selesai waktu bekerja untuk mendapatkan ijazah tanpa sebarang komitmen hutang,” kata beliau.

Katanya, kemudahan pinjaman pendidikan ditawarkan Putrajaya kepada pelajar dilihat sebagai punca kepada lambakan graduan di dalam negara hingga melebihi pasaran tenaga kerja semasa.

Beliau yang melihat isu lambakan graduan dari sudut pandang perniagaan memberitahu industri pendidikan dalam negara kini seolah-olah dijadikan satu bentuk perniagaan.
“Ini menyebabkan terdapat lambakan graduan melebihi pasaran tenaga kerja semasa.

Pengurus Penyelidik Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) Tarmizi Anuar pula berpandangan, ibu bapa pada hari ini masih kurang ilmu dan pengetahuan mengenai institusi yang menerapkan aspek kemahiran sebagai elemen utama pendidikan.

“Lebih merisaukan, sebaik sahaja graduan ini keluar dari universiti, mereka sudah ada hutang yang perlu dibayar walaupun belum mendapat jaminan pekerjaan,” katanya dalam forum “Underemployment” Dalam Kalangan Graduan Malaysia di sini malam tadi.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Jabatan Statistik Malaysia dan Tinjauan Ekonomi 2019 Kementerian Kewangan pula melaporkan, kadar pengangguran negara mengikut kaum dan tahap pendidikan pada 2017 menunjukkan pengangguran siswazah Melayu mencapai 4.6%, pendidikan menengah 4%, pendidikan rendah 1.9% dan tiada pendidikan formal 1.5%.

Sementara itu, Pengurus Penyelidikan dari Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) Tarmizi Anuar pula berpandangan, ibu bapa pada hari ini masih kurang ilmu dan pengetahuan mengenai institusi yang menerapkan aspek kemahiran sebagai elemen utama pendidikan.

“Kurangnya pengetahuan ibu bapa mengenai pilihan lain yang mereka ada untuk membantu anak memilih jenis pendidikan sesuai selepas sekolah menengah. Pilihan lain seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak selalu dibincangan sebagai pilihan selain universiti,” katanya.

Exit mobile version