CPTPPA, RCEP tiada impak signifikan
credit : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/04/547775/cptppa-rcep-tiada-impak-signifikan
SHAH ALAM: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPPA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tidak memberi kelebihan luar biasa kepada golongan Bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Osman, berkata dua perjanjian perdagangan berkenaan tidak adil apatah lagi berkaitan kepada Bumiputera.
“Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) dalam CPTPPA sebenarnya tidak memihak kepada Bumiputera kerana berlaku pelanggaran hak di mana ahli yang menentukan tempoh keistimewaan bukannya negara kita.
“Kita bagaikan tiada kedudukan kerana negara luar termasuk syarikat asing boleh menyaman negara kita kerana keistimewaan kepada golongan Bumiputera menjejaskan mereka.
“Sebab itu saya sifatkan perjanjian ini tidak adil kepada rakyat kita khususnya Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bertajuk Melayu Betongkat Ke Melayu Berwawasan – Pemerkasaan Agenda Bumiputera sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.
Antara menjadi panel ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin; dan Penyelidik Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS)-Institut Yusof Ishak, Lee Hwok-Aun.
Merujuk kepada RCEP pula, Ahmad Yazid berkata, rundingan kerajaan terdahulu dengan pihak berkepentingan sebenarnya dilakukan tidak secara menyeluruh.
Katanya, hasil data yang diperoleh menunjukkan tiada kelebihan signifikan kepada negara.
“Kerajaan baharu perlu memperhalusi untuk mengelakkan berlaku ketidakadilan kepada rakyat kita,” katanya.