Ekonomi gig: Ancaman atau peluang?
Oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Ekonomi gig menjadi segmen ekonomi yang semakin meningkat popular sejak akhir-akhir ini, terutama generasi muda. Ekonomi gig ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu yang dipacu teknologi digital.
Ekonomi gig dijangka terus berkembang pada 2020 selaras kadar pengangguran yang juga dijangka semakin tinggi. Mengikut kajian AmBank Research, dianggarkan 37,260 diberhentikan kerja pada 10 bulan pertama 2019 dan jawatan kosong dalam pasaran tenaga kerja berada pada angka 83,700.
Kadar pemberhentian kerja yang tinggi ini menyebabkan platform ekonomi gig seperti Workana.com dan Freelancing.com mula menjadi pilihan untuk mereka menyara kehidupan.
Walaupun sebelum ini ekonomi gig sering dikaitkan dengan platform Grab dan Food Panda yang menjadi antara pilihan utama siswazah menganggur, semakin banyak kerja profesional seperti guaman, kewangan korporat, akauntan, pengaturcaraan komputer dan lain-lain sudah mula disenaraikan antaranya menerusi platform Workana.com. Platform Workana.com menyenaraikan kerja freelance dari pelbagai negara dan pekerja ekonomi gig dari negara ini boleh menghantar bidaan kepakaran dan perkhidmatan mereka jika berminat.
Ekonomi gig sangat menarik, terutama kepada golongan celik teknologi (tech-savvy) kerana ia bersifat anjal dari segi masa dan kadangkala dari segi tempat kerana konsep ‘pejabat’ buat pekerja ekonomi gig boleh sahaja di mana-mana.
Mereka juga boleh memilih untuk bekerja secara sepenuh masa atau hanya mahu pendapatan sampingan. Dengan wujud teknologi digital, pembayaran boleh dilakukan pada bila-bila masa dan kerja berkenaan juga boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan ada capaian internet.
Akademi Harimau Asia dan Workana.com kini sudah bekerjasama untuk membina platform Asia Works untuk membantu mengembangkan industri ekonomi gig di Malaysia dan Asia.
Oleh kerana pertumbuhan ekonomi gig yang sangat memberangsangkan, perlu ada campur tangan kerajaan untuk mengawal selia sektor ini agar berkembang dengan baik. Pertama, perlu ada usaha untuk memberi kesedaran kepada bakal tenaga pekerja yang akan masuk dalam pasaran kerja bahawa ini potensi peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih lumayan berbanding bekerja makan gaji.
Usaha memberi kesedaran ini lebih elok dimulakan awal pada peringkat kolej dan universiti, dengan kerjasama agensi dan kementerian berkaitan.
Bagaimanapun, harus ada juga usaha untuk menjaga kebajikan pekerja dalam industri ini kerana mereka tidak mempunyai perlindungan insurans, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagi pihak majikan pula, mereka sudah mula membuka peluang kepada pekerja ekonomi gig dan mula mengurangkan pengambilan pekerja tetap yang kosnya lebih mahal dalam jangka panjang. Dengan adanya kepelbagaian kemahiran dalam industri ekonomi gig ini, majikan lebih mudah untuk mendapatkan kepakaran yang diperlukan dengan kos yang lebih rendah secara kontrak jangka pendek dan akhirnya boleh mengurangkan kos pengurusan, terutama ketika ekonomi tidak menentu sekarang.
Di Parlimen baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ekonomi gig dikenal pasti sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi dan akan menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12. Kerajaan juga menyedari implikasi ekonomi gig dan perlu ada usaha untuk menjaga hak pekerja yang terbabit, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Perkembangan teknologi pada alaf baharu bukan sahaja mengubah landskap ekonomi secara drastik, tetapi cara dan kehidupan seharian kita. Ekonomi gig adalah natijah langsung daripada kesan perubahan pesat ini. Amat sukar untuk kita, khususnya kerajaan untuk kalis rakyat dan industri tempatan daripada arus disruptif ini.
Suka atau tidak kita perlu bersedia untuk mengemudi bahtera perubahan selari dengan peluang dan cabaran yang ada dalam ekonomi gig global dan serantau agar Wawasan Kemakmuran Bersama yang disasarkan pada 2030 dapat dinikmati bersama dan saksama.
Penulis adalah Ketua Koordinator Akademi Harimau Asia







