“Underemployment” Dalam Kalangan Graduan Malaysia

Wacana mengenai masalah pengangguran graduan dan di Malaysia telah diadakan di Liberal Latte, bersebelah MRT Semantan pada hari Rabu 25 September bermula 8 malam. Jemputan khas majlis ini adalah Tarmizi Anuar, Pengurus Penyelidik LEADS, Wan Ahmad Firdaus, Pengarah REV Asia Berhad, Asma Anuar, Penyelidik IRDP. Pengantara bertugas hari ini adalah Izzura Azhar, Penyelidik IRDP
Perbincangan dimulakan dengan data berkaitan graduan di Malaysia. Menurut statistik, 200,000 graduan dihasilkan setiap tahun tetapi hanya 4,000 sahaja peluang pekerjaan disediakan untuk jawatan berkemahiran tinggi untuk mereka. Keadaan ini memberikan saingan sengit juga kepada mereka yang mempunyai kelulusan diploma di mana mereka terpaksa bertanding dengan graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Akhirnya ramai graduan yang bekerja dalam bidang lain dan mungkin mendapat gaji yang lebih rendah dari sepatutnya.
Kerajaan boleh membantu mengurangkan masalah ini dengan meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menjadi majikan sementara menerusi beberapa skim graduan dan cuba memastikan majikan membayar gaji setaraf dengan kelulusan mereka. Menurut Tarmizi, keadaan ini akan lebih membebankan lagi kerajaan dan perlu ada pelan yang jelas untuk meyelesaikan masalah ini secara jangka panjang. Wan Mohd Firdaus bependapat keadaan ini adalah sebahagian daripada kitaran ekonomi negara dan berlaku di hampir semua negara.
Melihat semula keadaan ini dari lensa perniagaan, Wan Mohd Firdaus menyatakan mungkin perkara ini berlaku kerana industri pendidikan telah dijadikan satu perniagaan. Anak muda lepasan yang mahu masuk ke universiti telah ditawarkan pinjaman pelajar untuk memudahkan masuk ke universiti. Ini menyebabkan terdapat lambakan graduan melebihi pasaran tenaga kerja semasa. Lebih merisaukan, sebaik sahaja graduan ini keluar universiti, mereka sudah ada hutang yang perlu dibayar walaupun masih belum mendapat jaminan pekerjaan.
Menurut Wan Mohd Firdaus lagi, mungkin ada baiknya jika tak semua anak muda masuk ke universiti. Rolls Royce misalnya mengambil pekerja yang tidak memiliki ijazah tetapi menggalakkan pekerja tersebut untuk menghadiri kelas selepas waktu bekerja untuk mendapatkan ijazah tanpa sebarang komitmen hutang.
Tarmizi mengulas kurangnya pengetahuan ibubapa mengenai pilihan lain yang mereka ada untuk membantu anak mereka memilih jenis pendidikan yang sesuai selepas sekolah menengah. Pilihan lain seperti TVET (Technical and Vocational Education and Training) tidak selalu dibincangkan sebagai pilihan selain universiti.
Dr Ariff Daud yang menghadiri majlis ini telah berkongsi pendapat yang bernas. Beliau mencadangkan pihak kerajaan patut melihat melihat situasi ini dari kaca mata yang berbeza. Kerajaan patut melabur dalam industri berimpak tinggi untuk membina lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan. Graduan ini akhirnya akan menjadi pakar dalam bidang mereka dan kepakaran ini boleh dipasarkan ke luar negara untuk meningkatkan lagi pendapatan dan ekonomi negara
Majlis ini dianjurkan oleh Institute of Research and Development Policy (IRDP) dengan kerjasama Akademi Harimau Asia. Akademi ini telah dilancarkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir dan YB Syed Saddiq pada 1 April 2019 untuk memperkasakan inisiatif Harimau Asia Melalui pendidikan.
Layari www.afiqsu112-ltdjo.wpcomstaging.comuntuk menyertai komuniti kami









