
Undi 18: Kesan Terhadap Sistem Demokrasi Negara

18 Julai 2019
Tanggal 16 Julai 2019, Malaysia mencipta sejarah setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun, lulus tanpa sebarang penolakan ahli Dewan Rakyat. Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini mendapat sokongan kesemua 211 Ahli Parlimen yang hadir, lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat. Pengumuman dilakukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. Pindaan itu dibahaskan oleh lebih 60 ahli Parlimen kira-kira enam jam selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkannya untuk bacaan kali kedua pada 12 tengah hari.

Wacana Ilmiah #Undi18 Akademi Harimau Asia telah diadakan pada sehari sebelum usul ini diluluskan, untuk membicarakan Pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun. Jemputan khas majlis ini adalah YB Amin Ahmad, Ahli Parlimen Kangar dan pengantara yang berugas adalah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Belia dan Sukan.
Usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat ini memerlukan undi majoriti 2 / 3 oleh Dewan Rakyat untuk diluluskan. #Undi18 adalah usul untuk menurunkan had umur layak mengundi dan menjadi calon Ahli Parlimen daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Pendaftaran pengundi juga akan dilaksanakan secara automatik apabila umur bakal pengundi mencecah 18 tahun. Usul ini membuka peluang kepada 3.8 juta pengundi baru yang boleh mengundi secara automatik antara umur 18 hingga 21 tahun yang sebelum ini tidak ada kelayakan mengundi.
Akademi Harimau Asia Bersama, YB Amin Ahmad, Ahli Parlimen Kangar, mengupas 3 isu penting dalam majlis ini:
- Orang Muda Adalah Pemangkin Proses Disrupsi
Jika kita melihat sejarah kemerdekaan Malaysia sendiri, usaha ini dilakukan oleh golongan anak muda yang mempunyai kesedaran nasionalis yang tinggi. Walaupun orang muda sering dikatakan kurang matang dalam membuat keputusan tetapi dengan kemajuan teknologi maklumat kini, generasi muda pada waktu ini mempunyai capaian maklumat yang lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Mereka juga adalah pemangkin proses disrupsi yang sangat penting untuk membantu proses pertumbuhan ekonomi dalam dunia yang lebih mencabar
- Meremajakan Politik Negara
Apabila lebih ramai anak muda mempunyai hak mengundi, ini boleh meratakan padang permainan politik negara. Oleh kerana tidak ada jaminan mana-mana parti politik akan mendapat sokongan mereka, setiap parti politik perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan sokongan generasi muda ini. Hak mengundi ini juga membolehkan golongan anak muda membuat keputusan penting negara yang boleh memberikan kesan jangka panjang kepada kehidupan mereka sendiri.
- Meningkatkan Penyertaan Demokrasi
Dengan pemberian hak mengundi kepada generasi muda, penyertaan demokrasi akan menjadi inklusif. Malaysia dan dunia secara umumnya sedang berada dalam fasa transisi di mana banyak negara mula membenarkan lebih banyak rakyat menyertai proses demokrasi. Hak mengundi ini tak boleh dianggap remeh kerana banyak kumpulan sosial yang terpaksa berjuang semata-mata mahu suara mereka didengari oleh pihak pemerintah
Apabila majlis dibuka untuk perbincangan dua hala, berikut adalah pendapat dan persoalan yang diutarakan :
- Ada keperluan pendidikan politik untuk membentuk pemikiran anak muda.
Apabila hak mengundi dibuka kepada anak muda, kita perlu menyediakan sistem pendidikan dan ekosistem yang sesuai untuk membentuk pemikiran politik yang sihat. Kita juga perlu menyediakan satu persekitaran yang kondusif untuk membolehkan anak-anak muda ini berbincang dan mendapat bekalan maklumat yang mencukupi untuk membantu mereka menggunakan hak mengundi mereka dengan betul
- Apakah berbaloi peningkatan kos pilihanraya berbanding kepada sumbangan GDP?
Kos untuk memberikan hak mengundi kepada 3.8 juta pengundi baru ini mencapai RM1 juta. Walau bagaimana pun, jika penglibatan orang muda dalam hak mengundi ini boleh menggerak dan menjana ekonomi walaupun dengan kadar 1% GDP sahaja, sumbangan mereka ini sudah memadai
Majlis ini dianjurkan sepenuhnya oleh Akademi Harimau Asia. Akademi ini telah dilancarkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir dan YB Syed Saddiq pada 1 April 2019 untuk memperkasakan inisiatif Harimau Asia Melalui pendidikan.